Abusyakirin.com

Menyuluh Hati Mencari Cinta Ilahi

Tafsir Pimpinan al-Rahman oleh Syeikh Abdullah Basmeih 09/09/2008

Filed under: Ilmiah — abusyakirin @ 3:41 am
Tags: ,
PENGENALAN

Pengajian Islam di dalam bidang tafsir di Tanah Melayu telah bermula sejak kurun ke 17 Masihi. Penulisan terawal ialah terjemahan kitab tafsir al-Baydawi yang telah ditulis oleh Tok Pulau Manis[1]. Bermula daripada itu bidang pengajian al-Qur’an mempunyai sejarahnya tersendiri di dalam perkembangannya di Tanah Melayu ini. Antara karya terkenal di dalam bidang ini yang sering digunakan oleh masyarakat di Malaysia ini ialah kitab Tafsir Pimpinan al- Rahman Kepada Pengertian al-Qur’an[2].

Tafsir Pimpinan al-Rahman adalah sebuah kitab terjemahan al-Qur’an sekaligus merupakan kitab tafsir al-Qur’an yang telah dihasilkan oleh Sheikh Abdullah Basmeih. Kitab tafsir ini digunapakai secara meluas di kalangan masyarakat Islam di Malaysia malahan ianya diiktiraf oleh kerajaan Malaysia sebagai sebuah kitab tafsir yang sewajarnya dirujuk oleh masyarakat Islam di sini.

Justeru kitab Tafsir Pimpinan al-Rahman ini dijadikan bahan kajian di dalam kertas kerja ini. Penulis mengupas tentang sejarah penulisan kitab tafsir ini, isi kandungan kitab, metodologi penulisan, metodologi pentafsiran, keistimewaan kitab dan sebagainya.Penerangan ringkas tentang penulis kitab ini juga turut disentuh merangkumi aspek latar belakang beliau, pendidikan beliau, pekerjaan beliau dan karya-karya beliau.

BAHAGIAN A : BIOGRAFI SHEIKH ABDULLAH BASMEIH

LATARBELAKANG

Nama penuh beliau ialah Sheikh Abdullah Basmeih bin Sheikh Muhammad Basmeih[3]. Beliau berketurunan Arab di kedua-dua belah pihak ibu dan ayah beliau. Ayah beliau bernama Syeikh Muhammad Basmeih bin Salleh Basmeih yang berasal dari Hadramawt di Yaman, manakala ibu beliau bernama ‘Aisyah binti Abdullah bin Hammad yang berasal dari wilayah Bishah Arab Saudi. Basmeih adalah gelaran bagi keturunan beliau[4].

Syeikh Abdullah Basmeih telah dilahirkan pada 29 Disember 1913[5]. Dalam catatan lain beliau dikatakan dilahirkan pada tahun 1915[6] kerana umur beliau sewaktu berhijrah ke Tanah Melayu pada tahun 1927 ialah 12 tahun[7]. Beliau dilahirkan di kawasan bernama Ma‘abdah yang terletak berhampiran dengan Mekah. Beliau dibesarkan di bumi Mekah al-Mukarramah sehinggalah berhijrah ke Tanah Melayu selepas itu kerana mengikut bapa beliau.

Syeikh Abdullah Basmeih telah menjadi yatim semasa berumur kurang dari dua tahun sewaktu ibu beliau ‘Aisyah meninggal dunia. Selepas itu beliau dijaga dan dibesarkan oleh ibu saudara beliau Khadijah Hammad. Khadijah Hammad dipangil beliau sebagai “ ‘ammati wa khalati” iaitu yang bermaksud ibu saudara sebelah bapaku dan ibu saudara sebelah ibuku kerana beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kedua-dua belah pihak iaitu di pihak ayah dan ibu Sheikh Abdullah Basmeih[8].

Sheikh Abdullah Basmeih hanya mempunyai dua orang adik beradik lelaki sebapa iaitu Sheikh Said dan Sheikh Salim. Kedua-duanya adalah hasil daripada perkongsian hidup Sheikh Muhammad Basmeih dengan wanita Melayu yang bernama Yang Chik binti Haji Kesah yang berasal dari Kampung Sungai Kertah Pengkalan Balak Melaka[9].

PENDIDIKAN

Sheikh Abdullah Basmeih adalah seorang tokoh ilmuwan terulung namun sejarah pendidikannya tidaklah sepertimana kebanyakan ulama’ lain.

Pendidikan awal Sheikh bermula semasa beliau kecil lagi iaitu semasa berada di Mekah al-Mukarramah. Semasa di sana beliau telah sempat belajar di Suq al-Layl. Beliau telah dihantar oleh ayah beliau untuk belajar agama di masjid Mekah semasa berumur 7 tahun[10]. Pembelajaran beliau ini hanyalah sekejap sahaja kerana semasa beliau berumur 12 tahun ayah beliau telah membawa beliau bersama berhijrah ke Malaysia di Pengkalan Balak Melaka. Bermula dari perpindahan itu, beliau telah dididik mengikut suasana masyarakat tempatan pada masa itu.

Beliau telah dimasukkan ke sekolah Melayu Pengkalan Balak Melaka dan telah belajar sehingga lulus darjah 5[11]. Hasil daripada persekolahan dan persekitaran telah membolehkan beliau untuk menguasai bahasa Melayu dengan baik.

Selepas daripada itu beliau tidak dapat meneruskan pengajian beliau ke peringkat lebih tinggi disebabkan masalah kewangan. Walaubagaimanapun beliau tetap gigih menimba ilmu dengan berusaha membaca sendiri antaranya Majalah Guru, hasil-hasil karangan pendita Zaaba dan sebagainya[12]. Beliau sendiri turut menyebut bahawa guru beliau adalah buku-buku dan kemahuan, hanya Allah sahaja yang mengetahui kegigihan beliau dalam menuntut ilmu[13].

PEKERJAAN

Sheikh Abdullah Basmeih adalah seorang yang gigih. Sejak kematian ayah beliau, beliau telah bertanggungjawab untuk berusaha mencari rezeki bagi meringankan beban ibu tiri beliau walaupun pada masa itu beliau masih bersekolah[14]. Beliau pernah menjual nasi lemak, menoreh getah, bersawah, menjual buah dan ikan[15].

Selain daripada itu, Sheikh juga pernah bekerja sebagai buruh di Triang Pahang, sebagai pembantu tukang masak di kantin Sekolah Inggeris Bandar Hilir Melaka, sebagai buruh di kilang getah Belanda di Pasir Panjang, peniaga kain dan pembuat dan penjual rojak[16].

Semasa beliau berniaga rojak beliau telah berjinak-jinak dengan dunia penulisan. Artikel beliau pernah tersiar dalam akhbar Warta Malaya. Kebolehan beliau ini disedari oleh pengarang akhbar Utusan Melayu Haji Mohammad Dahlan Masood (Hamdan). Beliau telah memberi kepercayaan kepada Sheikh untuk menterjemah rencana-rencana agama daripada Majalah al-Musawwar untuk dimuatkan ke dalam Utusan Melayu[17].

Selepas itu beliau terus serius berkecimpung di dalam dunia penulisan dan penterjemahan. Beliau pernah bekerja dengan Syarikat Qalam Press dan Syarikat Utusan Melayu[18]. Beliau juga pernah bekerja sebagai penulis dan penterjemah bebas[19].

KARYA

Sepanjang penglibatan Sheikh di dalam bidang penulisan, beliau telah banyak menghasilkan karya-karya yang amat berharga. Antaranya ialah :
i. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman[20]
ii. Pengertian Ayat-ayat al-Quran ( naskhah jawi dan naskhah rumi )[21]
iii. Mukadimah Mastika Hadis[22]
iv. Mastika Hadith Rasulullah s.a.w ( iman- tauhid )[23]
v. Mastika Hadith Rasulullah s.a.w ( sembahyang )[24]
vi. Khutbah Haji Wada‘- Khutbah Rasulullah s.a.w.[25]
vii. Panduan Mengurus Jenazah[26]
viii. Kedudukan Masjid Dalam Islam[27]
ix. Sejarah Hidup Siti Aisyah (1950)[28]
x. Sejarah Hidup Abu Bakar al-Siddik (1951)[29]
xi. Sejarah Hidup Nabi Muhammad ( 1952-1953 )[30]
xii. Panduan Kanak-kanak Sembahyang[31]
xiii. Muqaddam al-Quran[32]
xiv. Hikayat Salahuddin al-Ayyubi[33]

KEMATIAN

Sheikh telah kembali ke rahmatullah pada 14 Julai 1996 di rumah beliau yang terletak di Jalan Enggang Selatan, Taman Keramat. Pada ketika itu beliau berumur 84 tahun[34]. Sesungguhnya pemergian beliau merupakan satu kehilangan yang amat besar kepada negara kita lebih-lebih lagi apabila mengenangkan sumbangan beliau sebagai penterjemah al-Qur’an.

BAHAGIAN B : KITAB TAFSIR PIMPINAN AL- RAHMAN

PENGENALAN KITAB

Kitab Tafsir Pimpinan al-Rahman Kepada Pengertian al-Qur’an ini telah mula diusahakan penterjemahan dan penulisannya semasa kepimpinan Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Keputusan untuk menterjemah al-Qur’an ini telah diputuskan oleh Persidangan Majlis Raja-Raja yang berlangsung pada 13 Jun 1963[35].

Pada awalnya sebuah majlis jawatankuasa khas ditubuhkan untuk tujuan penterjemahan ini sebagaimana yang telah diputuskan oleh Majlis Raja-Raja. Walaubagaimanapun terdapat banyak kesulitan di dalam perjalanan pentadbiran majlis jawatankuasa ini. Pada bulan Oktober 1963, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj telah bertindak memindahkan kerja-kerja terjemahan ini dengan meletakkannya di bawah kemanterian beliau sendiri iaitu di bawah Jabatan Perdana Menteri[36].

Setelah dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman telah melantik Ustaz Faisal bin Haji Othman sebagai penterjemah al-Qur’an. Beliau telah melakukan usaha-usaha penterjemahan untuk tempoh beberapa bulan sahaja. Selepas itu beliau telah meletakkan jawatan. Selepas perletakan jawatan beliau maka Sheikh Abdullah Basmeih telah diminta untuk meneruskan kerja-kerja terjemahan al-Qur’an ke bahasa Melayu ini[37].

Bermula dari situ Sheikh telah gigih berusaha secara berperingkat-peringkat sehingga beliau berjaya menterjemah al-Qur’an ke bahasa Melayu dalam tulisan jawi pada peringkat awalnya, kemudian dalam tulisan rumi sebagaimana yang dapat kita lihat sekarang ini. Usaha-usaha gigih beliau ini telah mengambil masa yang lama di bawah kepimpinan empat orang Perdana Menteri Malaysia.

RUJUKAN PENTAFSIRAN

Sheikh Abdullah Basmeih telah merujuk beberapa kitab lain sebagai panduan untuk menghasilkan kitab Tafsir Pimpinan Al-Rahman ini[38]. Kitab-kitab ini merangkumi kitab tafsir Arab, Melayu dan Indonesia, kitab hadis, kamus Melayu dan kamus Arab. Antara kitab-kitab yang menjadi rujukan beliau ialah[39] :
i. Jami‘ al- Bayan oleh al-Tabari
ii. Tafsir Al-Qur’an al-‘Azim oleh Ibn Kathir
iii. Tafsir Ruh al-Ma‘ani oleh al-Alusi
iv. Tafsir Anwar al-Tanzil oleh al-Baydawi
v. Hasyiyah al-Syaykh Zadah oleh al-Syaykh Zadah
vi. Hasyiyah al-Khaffaji oleh al-Syaykh al-Khaffaji
vii. Hasyiyah al-Kazaruni oleh al-Syaykh al-Kazaruni
viii. Tafsir al-Jalalayn oleh al-Mahalli dan al-Suyuti
ix. Hasyiyah al-Jamal oleh al-Syaykh Sulayman al-‘Ujayli
x. Hasyiyah al-Sawi oleh al-Syaykh Ahmad al-Sawi
xi. Tafsir al-Manar oleh Imam Muhammad ‘Abduh dan Sayyid Muhammad Rashid Rida
xii. Tafsir Mahasin al-Ta’wil oleh al-Qasimi
xiii. Tafsir al-Maraghi oleh Ahmad Mustafa al-Maraghi
xiv. Tafsir al-Qur’an al-Karim oleh Mahmud Syaltut
xv. Tafsir al-Jawahir oleh Tantawi Jawhari
xvi. Tafsir Fi Zilal al-Qur’an oleh Sayyid Qutb
xvii. Tafsir Gharib al-Qur’an oleh Ibn Qutaybah al-Dinawri
xviii. Al-Itqan fi ‘Ulum al-Qur’an oleh al-Suyuti
xix. Kitab-kitab Tafsir Melayu dan Indonesia
xx. Kitab Fath al-Bari Sharh Sahih al-Bukhari oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani
xxi. Kitab Sahih Muslim bi sharh al-Nawawi oleh Imam al-Nawawi
xxii. Kitab al-Jami’ al-Saghir oleh al-Suyuti
xxiii. Kitab Syarh al-‘Azizi oleh ‘Ali Nur al-Din al-‘Azizi
xxiv. Kitab Syarh al-Hifni oleh al-Hifni
xxv. Tuhfat al-Dhakirin (Syarh al-Hisn al- Hasin) oleh al-Syawkani
xxvi. Kitab Fath al-Rahman oleh al-Maqdisi
xxvii. Kitab-kitab kamus Arab
xxviii. Kitab-kitab kamus Melayu

METODOLOGI PENULISAN DAN PENYUSUNAN KITAB

Pada bahagian metodologi ini penulis merujuk kepada kitab Tafsir Pimpinan Ar-Rahman cetakan ke 13[40]. Penulis membahagikan kitab ini kepada tiga bahagian iaitu bahagian pendahuluan, bahagian isi dan bahagian penutup.

Bahagian Pendahuluan mempunyai helaian-helaian tentang kata-kata aluan Perdana Menteri Malaysia[41], kata-kata aluan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dato’ Dr. Abdul Hamid Othman[42], kata-kata aluan Ketua Pengarah JAKIM Brigedier Jeneral Dato’ Abdul Hamid bin Zainal Abidin[43], kata-kata aluan Dato’ Haji Muhammad Noor[44], kata penutup penyemak dan penterjemah Haji Muhammad Noor dan Sheikh Abdullah Basmeih[45], keterangan tentang Ejaan Kata-kata Istilah Ugama dalam naskhah rumi oleh Sheikh[46] dan senarai kitab-kitab rujukan[47].

Bahagian isi pula adalah bahagian surah-surah al-Qur’an yang diterjemah dan ditafsirkan oleh Sheikh Abdullah Basmeih. Setiap surah didahului oleh mukaddimah. Bahagian Mukaddimah ini memberi keterangan tentang nama surah, tempat diturunkan surah, bilangan ayat dan juga intisari ayat. Bahagian ini merangkumi 30 juzu’ al-Qur’an bersamaan 114 surah.

Bahagian penutup pula mengandungi halaman tentang isi kandungan kitab beserta mukasurat setiap isi. Kitab ini diakhiri dengan keterangan tentang Pengenalan Mashaf al-Qur’an al-Karim beserta tanda-tanda yang digunakan di dalam mashaf dan makna tanda-tanda tersebut.

METODOLOGI PENTAFSIRAN

Secara keseluruhannya sepanjang pemerhatian penulis, Sheikh Abdullah Basmeih tidak menentukan format khusus untuk menterjemah dan mentafsir al-Qur’an. Beliau merujuk kepada kitab-kitab muktabar kemudian menterjemah ayat-ayat al-Qur’an dengan gaya terjemahan beliau sendiri tanpa terikut dengan mana-mana penterjemah.

Beliau menterjemah dengan menggunakan bahasa yang mudah untuk difahami bukannya menterjemah mengikut huruf (harfiah). Mana-mana ayat yang memerlukan huraian dibuat huraiannya di tempat nota kaki[48]. Huraian-huraian ini merupakan intipati kepada bacaan beliau terhadap kitab-kitab rujukan yang digunakan. Kata-kata dari ulama’ seperti almarhum Dato’ Haji Muhammad Noor turut dimasukkan pada tempat-tempat tertentu. Perlu difahami di sini bahawa beliau tidak mentafsir ataupun membuat huraian pada semua ayat al-Qur’an, hanya ayat-ayat tertentu sahaja yang diberi huraian dan penjelasan. Selebihnya hanyalah terjemahan ayat. Oleh kerana itu kitab tafsir ini sebenarnya adalah lebih merupakan terjemahan kepada ayat-ayat al-Qur’an.

Sebagai kesimpulannya penulis telah membahagikan metodologi pentafsiran beliau kepada bahagian-bahagian berikut :

i. Tafsir al-Qur’an dengan al-Qur’an

Pada ayat-ayat tertentu beliau memberikan penjelasan dengan menyebut nombor ayat dan nama Surah yang menyokong dan menjelaskan ayat al-Qur’an yang dihurai. Contohnya pada ayat 37 surah al-Baqarah[49]. Pada bahagian nota kaki ayat ini beliau menyatakan sebagaimana berikut :
“ (23) kalimah-kalimah pengakuan taubat yang telah diilhamkan oleh Allah Ta‘ala kepada Nabi Adam (dan isterinya – Hawa) itu ialah yang tersebut di dalam ayat 23 surah al-A‘raf iaitu “ربنا ظلمنا أنفسنا وان لم تغفرلنا وترحمنا لنكونن من الخاسرين ”[50]

ii. Tafsir al-Qur’an dengan hadis

Pada sesetengah ayat Sheikh turut menghurai ayat tersebut dengan hadis Nabi s.a.w. Walaubagaimanapun Sheikh tidak menyatakan matan hadis tersebut. Begitu juga tidak dinyatakan perawi hadis tersebut. Kekadang beliau menyebut dari sumber mana hadis tersebut diambil contohnya pada ayat 6 surah al-Fatihah[51]. Kekadang beliau hanya menyebut tentang mafhum hadis sahaja sepertimana dalam ayat 54 dan 55 surah Ali Imran[52].

iii. Sebab Penurunan Ayat

Syeikh turut menyatakan tentang sebab penurunan ayat (sabab al-Nuzul) di dalam kitab tafsirnya ini, tetapi tidak semua ayat yang mempunyai sabab al-Nuzul dinyatakan beliau. Antara ayat yang diterangkan sebab penurunannya ialah ayat 1 surah al-Nahl[53]. Selain itu ada juga keterangan yang bersifat sebab penurunan ayat tetapi tidak dinyatakan oleh beliau sebagai sebab penurunan ayat tersebut walaupun disebut pada kitab-kitab tafsir lain. Contohnya pada ayat 1 surah al-Munafiqun[54].

iv. Huruf muqatta‘ah

Syeikh tidak menghurai huruf-huruf muqatta‘ah bahkan beliau menyatakan bahawa “Allah jualah yang mengetahui erti dan maksud huruf-huruf yang terletak pada permulaan setengah-setengah surah al-Qur’an seperti ا . ل . م (Alif Lam Mim) ini”[55].

v. Munasabah ayat

Dalam kitab tafsir ini juga sheikh turut menyatakan tentang hubungan dan kaitan (munasabah) antara ayat dengan ayat. Contohnya pada ayat 3 surah al-Nahl[56]. Walaubagaimanapun beliau tidak memberi huraian tentang munasabah antara surah dengan surah.

vi. Ayat-ayat hukum

Sheikh juga telah memberi penekanan pentafsiran kepada ayat-ayat hukum, tetapi tidak semua ayat hukum dijelaskan oleh beliau. Antara contoh yang dapat dilihat adalah pada penjelasan tentang hukum mewarisi wanita pada zaman jahiliyah yang telah diterangkan oleh Allah Taala dalam firmanNya pada surah al-Nisa’ ayat 19[57]. Begitu juga pada hukum haram membunuh seseorang manusia yang dinyatakan pada surah al-Isra’ ayat 33[58].

vii. Kisah-kisah Nabi dan umat terdahulu

Sheikh juga banyak memberikan perhatian terhadap ayat-ayat berkenaan kisah-kisah Nabi dan umat terdahulu. Antara contoh yang dapat dilihat ialah pada kisah Nabi Ibrahim a.s. Kisah tersebut dihuraikan oleh beliau pada nota kaki ayat-ayat berkenaan. Contohnya pada ayat 71 surah Hud[59].

viii. Penjelasan istilah-istilah

Antara ciri-ciri pentafsiran Sheikh yang lain ialah beliau turut menghuraikan istilah-istilah tertentu yang dirasakan oleh beliau penting untuk dihuraikan. Contohnya istilah Allah, al-Rahman, al-Rahim pada surah al-Fatihah[60].

Daripada penjelasan di atas dapat difahami bahawa Sheikh telah memberi tumpuan kepada aspek-aspek tersebut di dalam kitab tafsir beliau ini. Namun jika ianya dibandingkan dengan kitab-kitab tafsir muktabar yang lain masih ada beberapa aspek yang tidak disentuh oleh beliau iaitu penerangan tentang masalah nahu, masalah qira’at dan sebagainya.

KEISTIMEWAAN

Kitab Tafsir Pimpinan al-Rahman ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Antaranya kerana ia adalah satu-satunya kitab tafsir lengkap 30 juzuk yang diterbitkan dalam bahasa Malaysia yang mudah difahami. Selain itu penulis kitab ini iaitu Sheikh Abdullah Basmeih telah menggunakan kitab-kitab yang muktabar sebagai rujukan kepada pentafsiran kitab ini. Kitab ini juga istimewa kerana selain daripada ditafsir oleh seorang ilmuwan yang dipercayai ia juga disemak oleh Dato’ Haji Muhammad Noor mufti negeri Kelantan yang memang tidak diragui keilmuwan dan kealimannya. Kitab ini juga mendapat perhatian kerajaan Malaysia dengan diadakan Lujnah Tashih yang khusus bagi kitab ini. Kitab ini menjadi lebih penting kerana diterbitkan dalam dua versi tulisan iaitu tulisan jawi dan rumi sekaligus membolehkan golongan tua dan muda menggunakannya mengikut keselesaan masing-masing.

KELEMAHAN DAN KRITIKAN

Sememangnya sifat makhluk tidak sunyi daripada kesilapan, begitu juga dengan kitab ini yang dikarang dan diterbitkan oleh manusia semestinya tidak sunyi dari kelemahan. Setelah meneliti kitab tafsir ini dan mengamati pandangan dan kritikan yang diberikan oleh masyarakat, penulis mendapati masih terdapat beberapa aspek yang perlu diambil perhatian oleh pihak-pihak berkenaan. Antaranya ialah :
i. Masih terdapat kesalahan cetakan pada ayat-ayat al-Quran. Contohnya pada cetakan keenam (1995)[61], dan kesembilan (1998)[62] edisi rumi terdapat kesalahan pada pengulangan perkataan iaitu ma pada ayat 50 surah al-Nahl[63]. Kesalahan ini meskipun dinyatakan ralat pada bahagian hadapan kitab tafsir ini tetapi pastinya ramai yang tidak menyedari dan menghiraukannya. Justeru ia tidak boleh dipandang ringan.
ii. Tidak terdapat keselarasan antara kitab tafsir versi jawi dan rumi. Antaranya pada versi jawi dimasukkan petunjuk ayat sebagai ruangan tambahan tetapi pada versi rumi tidak dimasukkan. Begitu juga pada bahagian atas di setiap halaman versi rumi tidak dimasukkan nombor surah sedangkan pada versi jawi dimasukkan.

KESIMPULAN

Kitab Tafsir Pimpinan al-Rahman ini tidak dapat dinafikan sebagai satu kitab tafsir yang amat penting kepada masyarakat Islam di Malaysia. Sumbangan Sheikh Abdullah Basmeih terhadap umat Islam di Malaysia khususnya melalui penghasilan kitab tafsir ini adalah amat wajar dihargai oleh semua masyarakat. Generasi muda masa kini wajar sekali mencontohi beliau.
[1] Nama sebenar beliau ialah Sheikh Abdul Malik bin Abdullah. Beliau telah dilahirkan di Kampung Pauh, Ulu Terengganu sekitar tahun 1650 M. Beliau adalah ulama’ terawal yang terkenal di Terengganu. Beliau telah kembali ke rahmatullah sekitar tahun 1730 M. Lihat Ismail Che Daud (2 001), Tokoh- tokoh Ulama’ Semenanjung Melayu (1), Kelantan : Percetakan ZulRahim Sdn. Bhd., h. 2-15.
[2] Ejaan pada karya asal ialah Tafsir Pimpinan Ar-Rahman- iaitu dieja “ar” bukannya “al”. Penulis memilih untuk menggunakan ejaan “al” di dalam penulisan ini iaitu ejaan mengikut kaedah transliterasi yang betul. (Selepas ini ditulis Tafsir Pimpinan al-Rahman).
[3] Selepas ini hanya disebut sebagai Sheikh. Sila lihat Wan Ramizah Hasan (2000), “Sumbangan Sheikh Abdullah Basmeih Dalam Bidang Tafsir : Kajian Khusus Terhadap Kitab Tafsir Pimpinan al-Rahman ” ( Disertasi, Fakulti Usuluddin, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya), h. 116-117.
[4] Ibid.
[5] Pencalonan Untuk Pertimbangan Bagi Kurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kebesaran Untuk Ahli-ahli Pergerakan Masyarakat/ Pertubuhan Profesional/ Sukan/ Kebajikan/ Sosial/ Agama dan Swasta, JAKIM, h. 1.
[6] Jaafar Abdul Rahim, (1979), “Tokoh Bulan Ini, Sheikh Abdullah Basmeih Pengarang Yang Tidak Pandai Menaip”, Majalah Dewan Siswa, Julai 1979, h. 5.
[7] Utusan Zaman, 9 Disember 1972, h. 9. Lihat juga Tanpa pengarang, Kertas Kerja Biodata Sheikh Abdullah Basmeih bin Mohd Basmeih, t.t., Kuala Lumpur, JAKIM, h. 1. ( selepas ini Kertas Kerja Biodata).
[8] Wan Ramizah Hasan (2000), op. cit, h. 110-111.
[9] Ibid, h. 113-114.
[10] Jaafar Abdul Rahim, (1979), op.cit.
[11] Ibid. Lihat juga Kertas Kerja Biodata, op.cit.
[12] Wan Ramizah Hasan (2000), op.cit., h. 117-118.
[13] Utusan Zaman, op.cit.
[14] Wan Ramizah Hasan (2000), op.cit., h. 116-117.
[15] Jaafar Abdul Rahim (1979), op.cit.
[16] Ibid. Lihat juga Berita Minggu, 29 April 1984.
[17] Jaafar Abdul Rahim (1979), op.cit.. Lihat juga Kertas Kerja Biodata, op.cit., h. 2.
[18] Ibid.
[19] Ibid.
[20] Memorendam Pembaharuan Kotrek Dari 3/12/1984- 2/12/1986- Tuan Sheikh Abdullah Basmeih, Pusat Penyelidikan Islam, Bahagian Agama, Jabatan Perdana Menteri, h. LAMPIRAN B.
[21] Ibid
[22] Ibid
[23] Ibid
[24] Ibid
[25] Ibid
[26] Ibid
[27] Ibid
[28] Jaafar Abdul Rahim, Tokoh Bulan Ini, Sheikh Abdullah Basmeih Pengarang Yang Tidak Pandai Menaip, Majalah Dewan Siswa, Julai 1979, h. 5.
[29] Ibid
[30] Ibid
[31] Ibid
[32] Ibid
[33] Ibid
[34] Utusan Melayu, 15 Julai 1996.
[35] Utusan Zaman, 9 Disember 1972.
[36] Ibid.
[37] Ibid
[38] Sheikh Abdullah Basmeih, ( 2002 ), Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur’an (30) Juz. Kuala Lumpur : DarulFikir, cet. 13, h. xiii.

[39] Ibid, h. xv- xvi.
[40] Sila lihat LAMPIRAN 1
[41] Sheikh Abdullah Basmeih, ( 2002 ), op.cit, h. vii-viii
[42] Ibid, h. ix
[43] Ibid, h. x
[44] Ibid, h. xi-xii
[45] Ibid, h. xiii
[46] Ibid, h. xiv
[47] Ibid, h. xv-xvi
[48] Terdapat sebanyak 1868 nota kaki yang berakhir pada surah al-Nas. Lihat Sheikh Abdullah Basmeih op. cit, h. 1751. Lihat juga LAMPIRAN 2
[49] Ibid, h. 18-19.
[50] Sila rujuk LAMPIRAN 3 untuk huraian penuh.
[51] Sheikh Abdullah Basmeih, op.cit, h. 5. Sila rujuk LAMPIRAN 4
[52] Ibid., h. 133. Sila rujuk LAMPIRAN 5
[53] Ibid., h. 629. Sila rujuk LAMPIRAN 6
[54] Ibid., h. 1513. Sila rujuk LAMPIRAN 7

[55] Ibid, h. 8. Sila rujuk LAMPIRAN 8
[56] Ibid, h. 18-19. Sila rujuk LAMPIRAN 6
[57] Ibid.,h. 185. Sila rujuk LAMPIRAN 9
[58] Ibid.,h. 684. Sila rujuk LAMPIRAN 10
[59] Ibid.,h. 524. Sila rujuk LAMPIRAN 11
[60] Ibid.,h. 3. Sila rujuk LAMPIRAN 12

[61] Wan Ramizah Hasan (2000), op.cit., h. 297.
[62] Sheikh Abdullah Basmeih, ( 1998 ), Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada Pengertian Al-Qur’an (30) Juz. Kuala Lumpur : Darul Fikir, cet. 9, h. 643.
[63] Kesilapan ini adalah berpunca daripada kesilapan percetakan bukannya kesilapan yang dibuat oleh Sheikh Abdullah Basmeih pengarang kitab ini.

 

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.