Abusyakirin.com

Menyuluh Hati Mencari Cinta Ilahi

ADAB MAKAN DAN MINUM CARA NABI SAW 22/02/2010

Filed under: Tazkirah — abusyakirin @ 6:58 pm

Dalam makan, ada perkara yang wajib di jaga, dan wujud juga perkara yang sunat di jaga. Perkara yang wajib di jaga adalah, mengelak memakan makanan yang haram, seperti arak, babi, binatang yang tidak disembelih dan sebagainya.

Adapun perkara sunat dijaga ketika makan adalah, makan tersebut dilakukan dengan beradab. Bermakna, apabila makan tidak beradab, ia tidak mendatangkan dosa.

Ada sebilangan manusia, yang makan makanan yang haram, tetapi dalam masa yang sama mereka amat mementingkan adab. Ekoran itu, mereka membaca “bismillah” apabila makan daging babi. Sudah pasti, tindakan ini amat bercanggah dengan konsep Islam.

Ia sama seperti, orang yang mementingkan adab menegur, tetapi dalam masa yang sama, mereka tidak mementingkan usaha melarang daripada berlaku penipuan, melakukan tindakan yang merugikan islam dan sebagainya. Walhal, menipu adalah perkara yang haram, dan menegur adalah perkara yang wajib, tetapi adab menegur adalah perkara yang sunat.

Walaubagaimana pun, di sini, di paparkan beberapa hadis-hadis yang sempat dihimpun berkenaan dengan makan dan minum Nabi SAW. ia adalah seperti berikut;

MULAKAN DENGAN ”BISMILLAH”

Nabi SAW apabila makan dan minum, pasti memulakan dengan menyebut nama Allah. perbuatan itu, bukan sekadar dilakukan oleh baginda SAW sendiri, malahan dipesan agar dilakukan oleh orang lain.

Bahkan, ia merupakan pesanan yang sering dilakukan oleh Rasulullah SAW kepada kanak-kanak, yang menunjukkan ia merupakan didikan Nabi terhadap mereka.

Dalam satu hadis, daripada Umar bin Abi Salamah R.a berkata, “semasa aku kanak-kanak, aku makan di dalam bilik bersama Rasulullah SAW. tanganku melintasi segala piring-piring, lalu disebut oleh Rasulullah SAW;

يا غلام سم الله ، وكل بيمينك ، وكل مما يليك

Maksudnya;
“Wahai kanak-kanak, sebutlah nama Allah dan makanlah dengan tangan kananmu dan makan makanan yang paling hampir denganmu
[1]

Dari hadis ini, kita dapat pelajari beberapa perkara berikut;

Pertama :

Nabi SAW, apabila menegur, baginda SAw akan berfikir kesan disebalik teguran. Justeru, apabila kesilapan itu dilakukan oleh seorang kanak-kanak yang bernama Umar bin Abi Salamah, nabi SAW tidak menggunakan namanya, sebaliknya nabi Muhammad SAW menggunakan panggilan manja.

Dalam bahasa arab, penggunaan kalimah ”ghulam”, ia merujuk kepada panggilan manja kepada kanak-kanak. Panggilan itu, amat diminati di kalangan kanak-kanak arab.

Ekoran itu, panggilan manja itu digunakan oleh Nabi SAW, dalam memberi teguran.

Kedua:

Nabi SAW berpesan agar makan itu dimulakan dengan membaca ”bismillah”. Ia merupakan penentu dalam keberkatan pada makanan itu sendiri.

Disamping itu juga, ketika sedang makan, ada adabnya tersendiri. Antara adab yang ditekankan dalam hadis ini adalah, tidak mengjangkaui tangan ketika mengambil lauk melainkan mengambil yang paling hampir terlebih dahulu.

Tindakan mengambil lauk yang jauh sehingga menjangkaui pinggan dan piring, bukanlah satu perkara yang ditegah oleh syarak. Pun begitu, tindakan digalakan agar tidak dibuat.

KETIKA LUPA BERDOA

Kadangkala, ada manusia itu makan terlupa untuk memulakan makan dengan membaca “Bismillah”. Mungkin kerana terlalu lapar, atau sememangnya tidak teringat langsung.

Dalam hadis, daripada Abdullah bin Mas’ud berkata, bersabda Nabi SAW;

من نسي أن يذكر الله في أول طعامه فليقل حين يذكر : باسم الله في أوله وآخره

Maksudnya;
“barangsiapa lupa bahawa menyebut nama Allah pada awal makannya, maka hendaklah dia berkata ketika ingat “dengan Nama Allah pada awalnya dan akhirnya
[2]

TANGAN KANAN

Ketika makan, disunatkan makan dilakukan menggunakan tangan kanan. Kekanan dalam semua perkara merupakan amalan terpuji, bahkan ia merupakan amalan orang-orang yang soleh; bertaqwa kepada Allah SWT.

Dalam hadis, daripada Abdullah bin Umar, bahawa Rasulullah SAW ada bersabda;

إذا كان أحدكم فليأكل بيمينه ، فإن الشيطان يأكل بشماله ويشرب بشماله

Maksudnya;
“Apabila seseorang kamu makan, maka hendaklah dia menggunakan tangan kanannya. Ini kerana, Syaitan makan dengan tangan kirinya dan minum dengan tangan kirinya
[3]

Dari hadis ini, di nyatakan bahawa makan dengan tangan kanan merupakan satu suruhan dari Nabi SAW. di nyatakan juga, bahawa tindakan makan dengan menggunakan tangan kiri adalah amalan syaitan.

TIDAK MINUM BERDIRI

Berdiri ketika minum, menandakan kurang adab ketika minum. Lantaran itu, ada satu hadis daripada Abi Said Al-Khudri berkata;

أن النبي صلى الله عليه وسلم زجر عن الشرب قائماً

Maksudnya;
“sesungguhnya Nabi SAW mencegah minum air dalam keadaan berdiri
[4]

TIDAK GUNA BEKAS EMAS DAN PERAK

Bukan sekadar kurang adab, malahan merupakan satu dosa, apabila seseorang itu minum dan makan dengan menggunakan bekas daripada emas dan perak.

Tindakan menggunakan emas dan perak ketika makan dan minum, merupakan kesombongan, walhal sifat sombong ini tidak layak wujud pada manusia.

Daripada satu hadis, daripada Huzaifah bin Al-Yaman berkata, “aku dengar Nabi SAW bersabda;

ولا تشربوا في آنية الذهب والفضة ، و لا تأكلوا في صحافها فإنها لهم في الدنيا ولنا في الآخرة

Maksudnya;
“Jangan kamu minum dengan menggunakan bekas-bekas yang diperbuat daripada emas dan perak. Juga, jangan makan dengan menggunakan pinggan-pinggannya. Ini kerana, bagi mereka di dunia, tetapi ia bagi kita di akhirat
[5]

CARA MAKAN DAN MINUM

Nabi SAW mempunyai cara-caranya tersendiri ketika makan dan minum. Nabi SAW apabila makan, baginda pasti akan menggunakan tiga jarinya.

Daripada Kaab bin Malik berkata;

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم يأكل بثلاث أصابع ، ويلعق يده قبل أن يمسحها

Maksudnya;
“Rasulullah SAW makan dengan tiga jarinya, lalu menjilat tangannya sebelum membersihkannya
[6]

TIDAK CELA MAKANAN

Kadang-kadang, ketika kita makan, ada makanan yang kita tidak selera. Ataupun, mungkin faktor makanan tersebut tidak sedap dan sebagainya.

Perasaan sebegitu, tidak sekadar berlaku pada diri kita sahaja, malahan berlaku juga pada diri Nabi Muhammad SAW. justeru, apakah tindakan Nabi SAW ketika berlaku sedemikian.

Dalam hadis, daripada Abu Hurairah berkata;

ما عاب النبي صلى الله عليه وسلم طعاماً قط ، ان اشتهاه أكله وإن كرهه تركه

Maksudnya;
“Nabi SAW tidak pernah mencela makanan sedikitpun. Sekiranya nabi berminat, pasti baginda akan memakannya. Dan jika baginda tidak menyukainya, baginda akan meninggalkannya
[7]

TIDAK MAKAN BANYAK

Nabi SAW tidak pernah makan banyak seperti kita. Jika kita makan, kadangkala mengjangkaui kekenyangan teramat sangat, sehingga bersedawa 3 hingga 5 kali. Perbuatan tersebut tidak disukai oleh Nabi SAW.

Justeru, daripada satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar, daripada Nabi SAW bersabda;

الكافر يأكل في سبعة أمعاء والمؤمن يأكل في معىً واحد

Maksudnya;
“Orang kafir makan dengan tujuh perut, walhal orang mukmin itu makan dengan satu perut sahaja
[8]

MAKAN BERJEMAAH

Berjemaah merupakan tuntutan. Ia kerana, berjemaah mewujudkan saling bantu membantu. Apabila wujud seorang yang susah, pasti dengan berjemaah, seorang kawan yang lain pasti akan membantu. Apabila keadaan ini berlaku, sebarang kesulitan dapat diselesaikan dengan baik.

Disebalik kebaikkan berjemaah ini, wujud juga keberkatan disebalik kita berjemaah. Berkat diterjemah sebagai “zat” jika dinisbahkan kepada makanan.

Ada manusia yang makan banyak, tetapi muka mereka pucat. Apabila ditanya, mengapa muka pucat, walhal makan banyak? Jawapan yang kita akan kedengari adalah, makanan tersebut makanan yang tidak mempunyai zat.

Dalam menjalani kehidupan, perkara ’zat’ amat penting. Sepertimana perlunya zat pada makanan untuk mencapai kesihatan tubuh badan, maka begitujuga dalam perkara selain daripada makanan.

Ada manusia yang mempunyai harta yang banyak, tetapi hartanya mudah habis. Tetapi, ada manusia yang mempunyai harta yang sedikit, tetapi hartanya susah habis.

Ada orang yang mempunyai kekayaan yang mengkagumkan. Apabila dilihat di dalam bank, wang simpanan mereka menjangkaui jutaan ringgit. Namun begitu, kehidupan si kaya tersebut tidak pernah tenang; masalah dalam keluarga sering terjadi, seperti kecurian, kena tipu, masalah anak-anak dan sebagainya. segala kekalutan dalam kehidupan itu berpunca daripada ketiadaan berkat.

Dalam mencapai keberkatan, Nabi SAW amat meminta agar umat mencarinya. Sehingga sampai satu tahap, dalam perkara yang melibatkan makan pun dituntut.

Dalam satu hadis, daripada Wahsyi bin Harb, daripada bapanya dan daripada atuknya berkata;

أن أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم قالوا : يا رسول الله إنا نأكل ولا نشبع قال : فلعلكم تفترقون قالوا : نعم ، قال : فاجتمعوا على طعامكم ، واذكروا اسم الله عليه ، يبارك لكم فيه

Maksudnya;
“Sesungguhnya para sahabat nabi SAW bertanya, “Wahai Rasulullah SAW, sesungguhnya kami makan, tetapi kami tidak pernah merasa kenyang”. Berkata Nabi SAW, “mungkin kamu makan bersendiri-sendirian?”. Jawab sahabat, “benar”. Bersabda Nabi SAW, “berhimpunlah atau berjemaahlah pada makanan kamu, dan sebutlah nama Allah atasnya, mudah-mudahan Allah memberi keberkatan kepada kamu pada makanan tersebut
[9]

KEADAAN DUDUK KETIKA MAKAN

Ketika makan, Nabi SAW amat menjaga cara dan kaedah duduk. Nabi SAW tidak pernah makan dalam keadaan bersandar, seperti hadis yang diriwayatkan daripada Abu Juhaifah, bahawa Rasulullah SAW bersabda;

إني لا آكل متكئاً

Maksudnya;
“Sesungguhnya aku tidak akan makan dalam keadaan bersandar
[10]

Begitujuga hadis daripada Anas bin Malik berkata;

رأيت النبي صلى الله عليه وسلم مقعياً يأكل تمراً

Maksudnya;
“Aku nampak Nabi SAW dalam keadaan duduk ketika makan buah kurma
[11]

Bahkan, makan dalam keadaan merupakan tanda manusia itu sebagai manusia yang merendah diri, tidak manusia yang sombong dan samseng.

Dalam hadis, daripada Abdullh bin basar berkata, “Aku telah menghadiahkan kepada Nabi SAW seekor kambing. Nabi SAW makan kambing tersebut sambil duduk, menyebabkan seorang badwi bertanya, “mengapa duduk?”

Mendengar kata badwi itu, Nabi SAW terus bersabda;

إن الله جعلني عبداً كريماً ، ولم يجعلني جباراً عنيداً

Maksudnya;
“Sesungguhnya Allah menjadikan aku hamba yang mulia, dan tidak menjadikan aku orang yang sombong dan degil
[12]

MINUM SUSU

Dalam banyak-banyak minuman yang wujud di atas muka bumi, susu merupakan minuman yang cukup disukai oleh Nabi SAW.

Ekoran itu, jika dilihat pada hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, bahawa dia berkata, apabila Nabi SAW makan makanan yang biasa, Nabi SAW akan berdoa seperti berikut;

اللهم بارك لنا فيه ، وأطعمنا خيراً منه

Maksudnya;
‘Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami pada makanan ini. dan berilah makanan kepada kami yang lebih baik daripada ini”

Pun begitu, ketika baginda SAW minum susu, baginda akan berdoa seperti berikut;

اللهم بارك لنا فيه ، وزدنا منه ، فإنه ليس شيء يجزئ من الطعام والشراب إلا اللبن.

Maksudnya;
“Ya Allah, berilah keberkatan kepada kami pada susu ini, dan tambahilah susu ini untuk kami. ini kerana, tidak ada yang dapat mengatasi makan dan minuman melainkan susu
[13]

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani
ustaz_bakistani@yahoo.com

- Sri Indah (B), Sg Buloh
7 Rabiul Awal 1431 – 21 Febuari 2010 * 3:12 petang

[1] Al-Bukhari : 4957.
[2] Musnad Ahmad : 23954.
[3]As-Sunan Al-Kubra : 7/677.
[4] Muslim : 3771.
[5] Al-Bukhari : 5006.
[6] Muslim : 3790.
[7] Al-bukhari : 3299.
[8] Muslim : 3839.
[9] Abu Daud : 3272.
[10] Al-Bukhari : 4979.
[11] Muslim : 3807.
[12] Abu Daud : 3281.
[13] Abu Daud : 3242.

 

5 Responses to “ADAB MAKAN DAN MINUM CARA NABI SAW”

  1. Mohd.Sufian Berkata:

    Salam,
    Tq krn artikel adab2 diatas.Harap dpt email kepada saya ttg adab2 kehidupan seharian Nabi SAW.
    Nabi SAW Bersabda: sampaikanlah walaupun 1 ayat.

  2. Juriah Berkata:

    Alhamdulillah. Terima kasih banyak2 atas perkongsian artikel ini :). Semoga Allah mempermudahkan urusan-urusan kita yang ke arah kebaikan. Amin…

  3. kardi Berkata:

    Bismillahirrahmanirrahiim. Untuk pemilik blog yg saya cintai karena Allah.
    Ya akhiy alkarim, pada artikel di atas,disebutkan bahwa rosul `alayhi assolaatu wassalam berkata: idzaa kaana ahadukum falya`kul biyamiinihi…., dan antum mengartikan: Apabila seseorang kamu makan, maka hendaklah dia menggunakan tangan kanannya….. yang sya komentari adalah kata “kaana”.jika benar, maka tidak sesuai dgn arti yg antum cantumkan. Jika bukan “kaana”, apakah itu kesalahan tulis dri buku rujukan antum atau kekhilafan antum. Soalnya pernah saya temui dlm artikel yg lain hadits yg senada dengan lafadz: idzaa akala ahadukum falya`kul biyamiinihi…, “akala”, bukan “kaana”. Mohon dikoreksi jika saya salah karena pengetahuan saya terbatas

  4. muslimah_ Berkata:

    alhamdullah..

  5. nufateen fateeya Berkata:

    insyaallah:)


Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.