Abusyakirin.com

Menyuluh Hati Mencari Cinta Ilahi

Cara berzikir selepas Solat berjama’ah menurut (Fatwa)Imam Syafi’e dan (Fatwa)Ulama’ Syafi’yah. 05/08/2010

Filed under: Ilmiah — abusyakirin @ 4:12 pm

Berzikir Dengan Suara Perlahan Atau Kuat: Kita Lihat Pendapat Mazhab Syafi’e
Berzikir Dengan Suara Perlahan Atau Kuat:

Kita Lihat Pendapat Mazhab Syafi’e

Masyarakat awam Malaysia secara umumnya sudah terbiasa untuk berzikir di setiap kali selesai solat (setelah salam) dengan cara berjama’ah dan suara yang kuat (dinyaringkan atau dilagukan).

Di antara dalil yang mereka gunakan adalah hadis dari Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhu sebagaimana berikut:

أَنَّ رَفْعَ الصَّوْتِ بِالذِّكْرِ حِينَ يَنْصَرِفُ النَّاسُ مِنْ الْمَكْتُوبَةِ كَانَ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَقَالَ ابْنُ عَبَّاسٍ كُنْتُ أَعْلَمُ إِذَا انْصَرَفُوا بِذَلِكَ إِذَا سَمِعْتُهُ

Terjemahan: Bahawasanya mengeraskan suara di ketika berzikir setelah para jama’ah mendirikan solat fardhu, adalah biasa dilakukan pada zaman Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam.

Berkata Ibnu ‘Abbas:
Dahulu aku mengetahui bahawa berakhir solat (selesai solat) itu adalah apabila telah mendengar suara zikir.

Rujukan:
(Hadis Riwayat al-Bukhari, Shohih al-Bukhari, Kitab al-Azan, 3/345, no. 796. Muslim, 3/239, no. 919)

Disebabkan masyarakat kita secara umumnya telah sepakat bahawa kita di Malaysia mengamalkan Mazhab Syafi’e, di sini saya mengambil keputusan untuk mengetengahkan perkataan ulama Syafi’iyah sendiri dalam memahami hadis tersebut.

Imam asy-Syafi’e sendiri telah menjelaskan berkenaan hadis ini sebagaimana yang disebutkan oleh Imam an-Nawawi rahimahullah:

وحمل الشافعي رحمه الله تعالى هذا الحديث على أنه جهر وقتا يسيرا حتى يعلمهم صفة الذكر لا أنهم جهروا دائما قال فاختار للإمام والمأموم أن يذكر الله تعالى بعد الفراغ من الصلاة ويخفيان ذلك الا أن يكون اماما يريد أن يتعلم منه فيجهر حتى يعلم أنه قد تعلم منه ثم يسر وحمل الحديث على هذا

Terjemahan: asy-Syafi’e rahimahullahu Ta’ala menjelaskan berkenaan hadis ini, bahawasanya (Nabi) mengeraskan suara di dalam beberapa tempoh waktu sahaja, ia adalah bertujuan untuk mengajar para sahabatnya berkenaan cara-cara berzikir, bukan bererti mereka (Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam dan sahabatnya) sentiasa mengeraskan suaranya. Beliau (asy-Syafi’e) berkata:

Aku berpendapat bahawa seseorang imam dan makmum hendaklah mereka berzikir kepada Allah, sebaik selesai menunaikan solatnya, dan hendaklah mereka merendahkan suara zikirnya, kecuali bagi seseorang imam yang mahu supaya para makmumnya belajar (berkenaan zikir) darinya, maka dia boleh mengeraskan zikirnya, sehingga apabila dia merasa (mengetahui) bahawa mereka telah memahami (belajar), maka hendaklah ia kembali merendahkan (memperlahankan) suaranya ketika berzikir.

Rujukan:
(Imam an-Nawawi, Syarah an-Nawawi ‘ala Muslim, 5/84)

Imam an-Nawawi rahimahullah sendiri pula turut berkata:

يندب الذكر والدعاء عقب كل صلاة ويسر به. فإن كان إماما يريد تعليمهم جهر. فإذا تعلموا أسر

Terjemahan: Disunnahkan untuk berzikir dan berdoa di setiap kali selesai solat (fardhu) dan hendaklah ia merendahkan suaranya. Apabila seseorang imam dan hendak mengajarkan makmumnya (tentang bacaan zikir), maka ia boleh untuk mengeraskan suaranya, kemudian apabila mereka telah mengetahui, ia kembali merendahkan (suara zikirnya).

Rujukan:
(Imam an-Nawawi, at-Tahqiq fil Fiqh asy-Syafi’e, m/s. 219. Dinukil dari Muhammad Ariffin Badri, Zikir ‘ Ala Tasawuf, m/s. 152-154.

Imam Yahya B. Abil Khoir al-’Imrani (bermazhab Syafi’e), setelah menyebutkan beberapa riwayat berkenaan zikir-zikir Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, beliau memberikan kesimpulan:

فتحمل رواية من روى أنه دعا وجهر. على أنه أراد بذلك ليتعلم الناس. وتهمل رواية من روى أنه مكث قليلا ثم انصرف على أنه دعا سرا بحيث يسمع نفسه

Terjemahan:
Riwayat perawi yang meriwayatkan bahawa beliau (Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) berdoa (berzikir) dan mengeraskan suaranya, ditafsirkan bahawa beliau (Shallallahu ‘alaihi wa Sallam) melakukan perkara tersebut supaya para sahabatnya dapat belajar dari beliau (Shallallahu ‘alaihi wa Sallam). Dan riwayat perawi yang menyebutkan bahawa beliau Shallallahu ‘alaihi wa Sallam diam sejenak (setelah selesai solat) kemudian bangun dan pergi, difahami bahawa beliau berdoa dengan merendahkan suaranya, sehingga beliau hanya memperdengarkan untuk dirinya sahaja.

Rujukan:
(Yahya B. Abil Khoir, al-Bayan, 2/250. Dinukil dari: Muhammad Ariffin Badri, Zikir ‘ Ala Tasawuf, m/s. 133)

Berkenaan hadis tersebut juga, Syaikh ‘Abdullah B. ‘Abdurrahman al-Bassam di dalam Syarahnya ke atas ‘Umdatul Ahkam berkata:

Di sini sebenarnya harus difahami bahawa Ibnu ‘Abbas masih kecil dan dia tidak turut serta dalam solat berjama’ah. Dia mendengar suara tahlil dari luar masjid. Dapat juga diertikan bahawa beliau menyertai solat berjama’ah, tetapi beliau di shaf yang jauh sehingga tidak ada orang yang menyambung suara kepadanya, menjadikan beliau tidak mengetahui telah berakhirnya solat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam melainkan dengan mendengar suara tahlil dari saf-saf yang awal.

Rujukan:
(‘Abdullah B. ‘Abdurrahman al-Bassam, Syarah Hadis Pilihan Bukhari Muslim, m/s. 266. Edisi Terbitan/terjemahan Darul Falah)

Alasan yang sama turut dijelaskan oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-’Asqolani yang bermazhab Syafi’e:

فقال عياض الظاهر أنه لم يكن يحضر الجماعة لأنه كان صغيرا ممن لا يواظب على ذلك ولا يلزم به فكان يعرف انقضاء الصلاة بما ذكر وقال غيره يحتمل أن يكون حاضرا في أواخر الصفوف فكان لا يعرف انقضاءها بالتسليم وإنما كان يعرفه بالتكبير وقال بن دقيق العيد يؤخذ منه أنه لم يكن هناك مبلغ جهير الصوت يسمع من بعد

Terjemahan:
Berkata ‘Iyadh (al-Qadhi ‘Iyadh), bahawa Ibnu ‘Abbas tidak hadir menyertai solat jama’ah tersebut kerana usianya yang masih kecil, ia tidak termasuk di antara orang-orang yang terus-menerus menghadiri jama’ah, maka beliau mengetahui habisnya solat berdasarkan keadaan tersebut. Ulama selainnya mengatakan, kemungkinan Ibnu ‘Abbas hadir di akhir Saf, maka beliau tidak mengetahui selesainya solat berdasarkan salam, akan tetapi beliau mengetahuinya dengan takbir. Ibnu Daqiq al-’Ied berpendapat, dari sini dapat dibuat kesimpulan bahawa di ketika itu tidak ada orang yang menyampaikan takbir imam (muballigh) supaya didengar oleh orang-orang yang berada di akhir saf.

Rujukan
(Al-Hafiz Ibnu Hajar, Fathul Bari Syarah Shohih al-Bukhari, 2/326)

Demikianlah penjelasan berkenaan hadis Ibnu ‘Abbas di atas berdasarkan para ulama dari kalangan mazhab Syafi’e.

Kemudiannya, kaedah di dalam persoalan ini sebenarnya dapat dilihat secara umum dan khusus:

1 – Secara umumnya, adab dalam berzikir itu adalah dengan suara yang perlahan dan bukan dikeraskan.

Ini dijelaskan melalui dalil berikut yang bersifat umum:

وَلا تَجْهَرْ بِصَلاتِكَ وَلا تُخَافِتْ بِهَا

Terjemahan: Dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan janganlah pula merendahkannya.

Rujukan
(Surah al-Israa’, ayat 110)

Imam asy-Syafi’e rahimahullah berkata tentang ayat ini:

Maksud kata الصلاة (ash-Sholah) wallahu Ta’ala a’lam adalah doa. لا تَجْهَرْ (Laa Tajhar): Janganlah engkau mengangkat suaramu, وَلا تُخَافِتْ (wa laa tukhofit): Janganlah engkau rendahkan sehingga engkau sendiri tidak mendengarnya.

Rujukan:
(Imam asy-Syafi’e, al-Umm, 1/127)

Juga firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:

وَاذْكُرْ رَبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالآصَالِ وَلا تَكُنْ مِنَ الْغَافِلِينَ

Terjemahan: Dan berzikirlah kepada Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.

Rujukan:
(Surah al-A’raaf, ayat 205)

Ini dijelaskan lagi dengan larangan daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam berdasarkan kepada riwayat berikut:

Dari sebuah hadis dari Abu Musa al-’Asy’ari, beliau menceritakan:

رفع الناس أصواتهم بالدعاء في بعض الأسفار، فقال لهم النبي صلى الله عليه وسلم: “أيها الناس، أربعوا على أنفسكم، فإنكم لا تدعون أصمَّ ولا غائبًا؛ إن الذي تدعونه سميع قريب

Terjemahan: Ketika itu, orang ramai mengeraskan (memperkuatkan) suaranya di dalam berdoa di ketika melakukan safar (perjalanan), maka Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam pun berkata (membantah perbuatan mereka yang mengeraskan suara dalam berdoa):

Wahai manusia, kasihanilah diri kamu. Kerana kamu sebenarnya tidak menyeru kepada yang tuli (pekak) dan yang jauh, sesungguhnya Dzat yang kamu seru adalah Maha Mendengar lagi sangat dekat.

Rujukan:
(Al-Hafiz Ibnu Katsir, Tafsir al-Qur’anil Adzim, 3/539)

Dalam riwayat yang lain, dari Abu Musa al-’Asya’ari:

كنا مع رسول الله صلى الله عليه وسلم في غَزَاة فجعلنا لا نصعد شَرَفًا، ولا نعلو شَرَفًا، ولا نهبط واديًا إلا رفعنا أصواتنا بالتكبير. قال: فدنا منا فقال: “يا أيها الناس، أرْبعُوا على أنفسكم؛ فإنَّكم لا تدعون أصمّ ولا غائبًا، إنما تدعون سميعًا بصيرًا، إن الذي تدعون أقربُ إلى أحدكم من عُنُق راحلته. يا عبد الله بن قيس، ألا أعلمك كلمة من كنوز الجنة؟ لا حول ولا قوة إلا بالله”

Terjemahan:
Ketika kami bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam di dalam sebuah peperangan, tidaklah kami mendaki tanah tinggi, memanjat bukit, dan menuruni lembah, melainkan kami meninggikan suara ketika bertakbir. Kemudian beliau pun mendekati kami lalu bersabda:

Wahai sekalian manusia, tahanlah diri kamu, sesungguhnya kamu tidak berdoa kepada Tuhan yang Maha mendengar dan Maha melihat. Sesungguhnya Tuhan yang kamu seru itu lebih dekat kepada seseorang di antara kamu daripada leher binatang tunggangannya. Wahai ‘Abdullah B. Qais, mahukah engkau aku ajarkan sebuah kalimah yang termasuk perbendaharaan Syurga? Iaitu ucapan “La haula walaa quwwata illaa billah” (Tidak ada daya dan kekuatan melainkan hanya dengan pertolongan Allah).

Rujukan:
(Hadis Riwayat Ahmad, Musnad Ahmad, no. 19599. Tahqiq Syaikh Syu’aib al-Arnauth: Isnadnya sahih berdasarkan syarat dua kitab sahih (Bukhari dan Muslim))

Maka, secara umumnya, adab dalam berzikir itu adalah dengan suara yang perlahan dan bukan dikuatkan. Cukup dengan sekadar diri sendiri yang mendengarnya.

2 – Zikir boleh dikuatkan (diperdengarkan suara bacaannya kepada yang lain) dengan beberapa sebab yang mengkhususkannya. Ini dapat dilihat melalui beberapa dalil sebagaimana salah satunya dari Ibnu ‘Abbas di atas, yang dijelaskan oleh para ulama sebagai bertujuan untuk mengajar.

Ini dapat kita fahami bahawa, dalam soal mahu mengajar sudah tentu zikir perlu diperdengarkan demi untuk memberi tahu kepada para pelajarnya. Namun, dalam praktik untuk ibadah, hendaklah kita mematuhi dengan baik adab-adabnya setelah mengetahui dari apa yang telah dipelajarinya. Demikianlah sebahagian adab dalam berzikir yang merupakan salah satu bentuk ibadah yang mulia dengan tatacaranya, yang bukan untuk dilaksanakan mengikut hawa nafsu.

Prinsip dalam berzikir ini diperkuatkan lagi dengan beberapa penjelasan ulama yang lainnya, antaranya adalah al-Hafiz Ibnu Katsir yang bermazhab Syafi’e, katanya:

أي: اذكر ربك في نفسك رهبة ورغبة، وبالقول لا جهرًا؛ ولهذا قال: { وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ } وهكذا يستحب أن يكون الذكر لا يكون نداء ولا جهرًا بليغًا؛ ولهذا لما سألوا رسول الله صلى الله عليه وسلم فقالوا: أقريب ربنا فنناجيه أم بعيد فنناديه؟ فأنزل الله: { وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ }

Terjemahan:
Berzikirlah kepada Tuhanmu dalam hatimu dengan rasa penuh harap dan takut, dan dengan suaramu (lisanmu) tanpa mengeraskannya, dengan sebab itulah Allah berfirman: Dan dengan tidak mengeraskan suara. Dan demikianlah yang disunnahkan, hendaklah zikir itu dengan suara yang tidak sampai seperti suara orang memanggil, dan (bukan dengan) suara yang keras, oleh sebab itu juga di ketika para sahabat bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam:

Adakah Tuhan kita itu dekat, sehingga kita bermunajat (berdoa dengan berbisik-bisik) kepada-Nya ataukah jauh sehingga kita memanggilnya?

Maka Allah pun menurunkan firman-Nya:

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka sesungguhnya Aku adalah dekat, Aku memperkenankan permohonan orang yang memohon bila ia memohon pada-Ku.

Rujukan:
(Al-Hafiz Ibnu Katsir, Tafsir al-Qur’anil Adzim, 3/538)

Sekali lagi dipetik perkataan Imam an-Nawawi dari sumber yang lain dalam syarahnya ke atas hadis Abu Musa al-’Asy’ari, beliau berkata:

ارفقوا بأنفسكم واخفضوا أصواتكم فان رفع الصوت انما يفعله الانسان لبعد من يخاطبه ليسمعه وأنتم تدعون الله تعالى وليس هو بأصم ولاغائب بل هو سميع قريب وهو معكم بالعلم والاحاطه ففيه الندب إلى خفض الصوت بالذكر اذا لم تدع حاجة إلى رفعه فانه إذا خفضه كان أبلغ فى توقيره وتعظيمه فان دعت حاجةالى الرفع رفع كما جاءت به أحاديث

Terjemahan:
Kasihanilah dirimu, dan rendahkanlah suaramu, kerana mengeraskan suara itu biasanya dilakukan seseorang kerana orang yang diajak berbicara berada di tempat yang jauh agar ia mendengar suaranya (apa yang hendak disampaikan). Sedangkan kamu sedang menyeru Allah Ta’ala, dan Dia tidaklah tuli dan tidak juga jauh, akan tetapi Dia Maha Mendengar dan Maha Dekat dan bersama kamu dengan ilmunya sehingga dalam hadis ini mengandungi anjuran supaya merendahkan suara zikir, selagi mana tidak ada keperluan untuk mengeraskannya, kerana dengan merendahkan suara itu lebih menunjukkan tanda penghormatan dan pengagungan. Dan bila ada keperluan untuk mengeraskan suara, maka boleh untuk dikeraskan, sebagaimana yang disebutkan dalam beberapa hadis.

Rujukan:
(Imam an-Nawawi, Syarah an-Nawawi ‘ Ala Muslim, 17/26)

Dari penjelasan Imam an-Nawawi ini kita dapat melihat bahawa secara asasnya setiap orang yang berzikir itu hendaklah dengan merendahkan suaranya, melainkan apabila ada alasan untuk mengeraskannya, sebagai contoh misalnya apabila seseorang imam atau guru (cikgu) yang hendak memberi tunjuk-ajar dan membimbing makmumnya (atau orang-orang tertentu dari para pelajar) memahami wirid-wirid atau zikir-zikir yang dahulu diucapkan oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam asy-Syafi’e rahimahullah.

Perkara ini dikuatkan dengan dalil sebuah riwayat sebagaimana yang dilakukan oleh Ibnu Abbas radiallahu ‘anhu ketika beliau menjadi imam di dalam solat jenazah di saat dia hendak mengajarkan kepada makmumnya bahawa disunnahkan membaca al-fatihah dalam solat jenazah:

عَنْ طَلْحَةَ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَوْفٍ قَالَ صَلَّيْتُ خَلْفَ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا عَلَى جَنَازَةٍ فَقَرَأَ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ قَالَ لِيَعْلَمُوا أَنَّهَا سُنَّةٌ

Terjemahan:
Dari Thalhah bin ‘Abdillah bin ‘Auf, beliau berkata: Aku pernah mensolatkan jenazah dengan berimamkan Ibnu ‘Abbas radhiyallahu ‘anhuma, maka beliau membaca surat al-Fatihah (dengan suara keras), kemudian beliau berkata: Supaya mereka mengetahui bahawa ini (membaca al-fatihah dalam solat jenazah) adalah sunnah.”

Rujukan:
(Riwayat Bukhori, 1/448, hadis no: 1270)

Berdasarkan sedikit kupasan di atas ini, alhamdulillah dapat dibuat kesimpulan dengan beberapa point bahawa:

1 – Mazhab asy-Syafi’e menyatakan bahawa amalan berzikir di setiap kali setelah selesai solat fardhu adalah sunnah (dianjurkan).

2 – Cara berzikir selepas solat adalah dilaksanakan dengan secara individu.

3 – Dilaksanakan dengan suara yang perlahan dan bukan dikuatkan, cukup sekadar diri sendiri yang mendengarnya.

4 – Boleh dikeraskan bacaan sekiranya bertujuan untuk mengajar dan memberi bimbingan kepada orang lain yang mahu memperlajarinya.

Untuk melihat contoh-contoh zikir yang disunnahkan untuk diamalkan apabila telah selesai solat fardhu (sebaik selepas salam), bolehlah melihat artikel saya yang lalu bertajuk: No. 98 – Zikir-zikir Selepas Solat Fardhu Yang Tsabit Dari Sunnah.

Sekian, Wallahu a’lam…

 

One Response to “Cara berzikir selepas Solat berjama’ah menurut (Fatwa)Imam Syafi’e dan (Fatwa)Ulama’ Syafi’yah.”

  1. shaprialdi Berkata:

    saya suka dengan cara munaqosyah seperti ini baarokallaahu fiik ya akhi


Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.